Followers

Tuesday, May 15, 2012

Perkembangan Bayi Dalam Kandungan (1-40 minggu)


Perkembangan Bayi Minggu 1

Lapan hari selepas persenyawaan,blastocyst akan merembeskan mukus untuk menyatakan kehadirannya di dalam rahim.


Nota Hamil : Anda digalakkan makan lebih banyak asid folik iaitu 400 micrograms (mcg) sehari.

Asid folik diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah selain dapat mengelakkan kecacatan janin seperti spina bifida.


Perkembangan Bayi Minggu 2

Blastocyst mula menggelembung dan membahagi dua kali dalam tempoh sehari.

Pada hari ke-12, jumlahnya akan menjadi beribu- ribu. Setelah itu, blastocyst disauh dengan kukuh pada endometrium.


Nota Hamil : Dalam minggu ini pula, anda perlu mengambil makanan tambahan yang mengandungi

asid folik, besi dan kalsium termasuklah beberapa jenis nutrien penting lain untuk perkembangan bayi yang sihat.


Perkembangan Bayi Minggu 3

Selepas tiga minggu persenyawaan, saiznya ialah sepanjang 0.08 inci ataupun 2 mm.

Gen mula membentuk tiga lapisan sel daripada organ badan yang akan bergabung.


Nota Hamil : Di awal minggu kehamilan anda perlu banyak mengambil kalsium. Antaranya keju atau susu.

Namun terdapat beberapa jenis keju yang boleh menyebabkan listeria.

Penyakit ini menimbulkan kesakitan seperti sakit otot, sakit belakang, demam dan kesejukkan. Digalakkan juga memakai stokin, serta baju panas.


Perkembangan Bayi Minggu 4

Pada minggu ini, akan kelihatan bentuk awal otak dan tulang belakang.

Jantungnya mengepam darah ke paru-paru dan aorta (urat besar yang mengalirkan darah daripada jantung)


Nota hamil : Senaman dipercayai baik untuk ibu hamil. Apabila anda aktif, anda dapat mengelakkan

ketidakselesaan seperti sakit belakang, sukar tidur, sembelit dan keletihan.


Perkembangan Bayi Minggu 5

Walaupun anggota tubuh badan bayi yang jelas kelihatan ialah matanya, namun otaknya

masih dalam proses perkembangan. Begitu juga dengan saluran darah yang tidak lama lagi akan bertukar menjadi jantung.


Nota Hamil : Suhu badan yang terlalu panas boleh menyebabkan kecacatan pada bayi.

Jadi elakkan aktiviti seperti bersauna, jakuzi dan senaman yang boleh menyebabkan suhu tubuh meningkat.


Perkembangan Bayi Minggu 6

Jantungnya kini sudah terbentuk dan mula berdenyut.

Di akhir minggu ini, saluran yang menghubungkan bayi dengan plasenta mula membesar menjadi tali pusat.

Selain itu, saluran darah juga terbentuk. Saiz bayi kini membesar jari kelengkeng

dan pergerakkannya hanya dapat dilihat melalui ujian imbasan.


Nota Hamil : Jika anda menderita morning sickness, bau-bau tertentu membuatkan anda jadi lebih teruk lagi.
Kulit anda juga berubah menjadi lebih gelap sehingga menjadi bertompok-tompok dan mengelupas. dan kebiasaannya gatal-gatal akibat pengelupasan kulit seluruh badan. Nasihat saya jangan garu dengan kuku atau benda tajam sebaiknya sapukan losyen sepelas mandi atau ketika kulit terasa kering. Banyakkan minum air mineral.


Perkembangan Bayi Minggu 7

Lubang hidung, bibir, lidah dan giginya dalam proses pembentukkan. Manakala kaki dan lengannya kian berkembang. Dalam pada itu, tulang belakang, usus dan otak hampir terbentuk.


Nota Hamil : Anda mungkin berasa pening ataupun pengsan jika berdiri terlalu lama. Selain itu,

jika terpaksa berada dalam keadaan sesak, anda juga mungkin berkeadaan sebegini.

Anda juga mudah berasa letih. Banyakkan berehat bagi mencapai keselesaan.


Perkembangan Bayi Minggu 8

Mata, telinga dan telinga tengah yang mengawal keseimbangan sudah mula terbentuk.
Saluran darahnya juga sudah mula kelihatan. Jantungnya pula mula berdenyut pada kadar denyutan normal. Memandangkan kaki dan lengannya kian berkembang, bayi sudah “pandai” bergerak dan menendang. Walau bagaimanapun, saiznya yang masih kecil, tidak membenarkan anda merasai pergerakannya.


Nota Hamil : Perubahan bentuk fizikal mula dialami,puting dan payu dara mula membesar dan mudah sensitif. Lelehan faraj juga makin banyak. Digalakkan memakai pantyliner dan menggunakan pencuci khusus alat sulit untuk keselesaan. Serta kerap menukar seluar dalam yang bersih.


Perkembangan Bayi Minggu 9

Bentuk muka bayi mula berkembang, malah mulut dan hidungnya jelas kelihatan. Begitu juga dengan kaki dan tangannya.


Nota Hamil : Berat badan ibu mula bertambah. Anda digalakkan untuk merekodkan setiap pertambahan

berat badan yang dialami. Ketika ini, gusi anda menjadi lebih lembut dan nipis disebabkan oleh perubahan hormon. Berhati-hati memilih makanan yang sesuai pada ketika ini, kurangkan makan karbohidrat kerana boleh menyebabkan badan si ibu meningkat. Sebaiknya ikut nasihat doktor cara bagaimana pemakanan yang sesuai untuk anda.


Perkembangan Bayi Minggu 10

Telinga luaran mula jelas kelihatan. Tubuhnya kini mula memanjang iaitu ibu jari dan jari-jari

yang lain jelas terlihat tetapi bentuknya belum sempurna seperti jari normal manusia.


Nota Hamil : Jumlah darah yang mengalir di dalam tubuh kian meningkat. Ini akan membuatkan anda berasa lebih panas daripada biasa. Saiz rahim anda kini sebesar buah oren.


Perkembangan Bayi Minggu 11

Majoriti organ bayi sudah terbentuk. Kini, bayi berada dalam zon selamat daripada sebarang ketidak

normalan pada janin dan jangkitan tertentu.


Nota Hamil : Ketidakselesaan yang dialami membuatkan anda mudah berasa letih. Jadi, anda perlu mengambil peluang merehatkan diri jika ada kesempatan.


Perkembangan Bayi Minggu 12

Jantung bayi berdegup antara 110 hingga 160 kali seminit. Pada minggu ini dadanya turun naik kerana dia sudah mula bernafas. Bentuk tubuhnya sudah mula kelihatan. Ibu jari dan jari-jari lainnya sudah lengkap terbentuk. Termasuk kukunya. Bayi sudah mampu menghisap ibu jarinya dan menelan cecair amniotik seterusnya menukarkannya menjadi urin.


Nota Hamil : Berat badan anda akan bertambah kira-kira ¼ daripada berat badan normal di antara minggu ini hingga minggu ke-20. Ketika minggu ini anda akan merasa lebih bertenaga berbanding minggu- minggu sebelumnya.


Perkembangan Bayi Minggu 13

Tulangnya mula berkembang, begitu juga dengan gigi. Pada tahap ini, bayi sentiasa menggerakkan bibirnya sebagai persediaan untuk merangsangkan otot bibirnya supaya daya hisapnya dapat berfungsi dengan baik setelah dia lahir nanti.


Nota Hamil : Perubahan ’saiz’ rahim yang kian membesar akan membuatkan anda menyedari bahawa perasan perut anda “buncit”. Dalam pada itu, perubahan warna putting turut berlaku. Warna bahagian tersebut berubah menjadi lebih gelap dan urat biru pada payu dara anda mula jelas kelihatan.


Perkembangan Bayi Minggu 14

Organ-organ bayi dalam kandungan sudah mulai matang. Dagu, dahi dan hidung kini semakin menyerlah. Bayi juga berupaya untuk menggerak-gerakkan kepalanya dan ada kalanya dia boleh mengerutkan kening.


Nota Hamil : Katakan selamat tinggal kepada morning sickness. Saat ini, anda dapat menikmati makan dan minum. Jika beberapa bulan sebelum ini dunia seks anda hambar, jangan risau. Kini, keseronokkan hubungan seks itu muncul kembali dan mungkin lebih baik daripada sebelumnya. Agar hubungan anda dan suami pulih seperti sedia kala, tumpukan perhatian dan berikanlah kasih sayang sepenuhnya pada suami.


Perkembangan Bayi Minggu 15

Tulang rangka bayi sedang giat berkembang. Kini, kakinya lebih panjang daripada tangan. Rambut pada kepala juga semakin menebal. Begitu juga dengan kening dan bulu matanya. Semua makin jelas kelihatan. Ketika ini, dia sudah boleh mendengar. Antara yang paling jelas didengarnya ialah suara anda selain daripada degupan jantung dan bunyi perut anda.


Nota Hamil : Kuantiti darah yang mengalir dalam badan semakin banyak. Pada masa yang sama bayi juga perlukan oksigen. Oleh yang demikian, jantung perlu bekerja kuat. Jadi, tidak hairanlah jika ketika ini jantung anda kelihatan sedikit besar. Semua itu adalah untuk memastikannya mampu menjalankan tugas sebaiknya.


Perkembangan Bayi Minggu 16

Bayi semakin kerap bergerak. Tubuhnya juga mula diselaputi lanugo iaitu rerambut halus. Tujuannya ialah untuk mengekalkan keseimbangan suhu badan. Jantina bayi juga sudah boleh diketahui semasa ultrasound dilakukan.


Nota Hamil : Pada saat ini anda sepatutnya rasa lebih segar, seronok dan gembira. Selera makan juga semakin bertambah. Anda mungkin dapat merasa pergerakkan pertama bayi dalam kandungan. Akan tetapi pergerakan bayi anda tidaklah terlalu ketara. Pada masa yang sama, garis halus berwarna gelap di bawah abdomen yang dikenali sebagai linea niagra semakin menyerlah.


Perkembangan Bayi Minggu 17

Anggota badan bayi kini terbentuk dengan sempurna. Deria rasanya juga sudah mula dibina. Bayi anda sekarang sudah mempunyai cap jarinya sendiri.


Nota Hamil : Pinggang ramping anda kini sudah menghilangkan dirinya. Yang tinggal hanyalah perut yang semakin membesar di samping kehadiran sedikit tanda rekahan pada bahagian tersebut. Selain perut, gusi juga mengalami sedikit gangguan. Gusi berdarah ialah antara masalah yang biasa. Pemilihan baju serta seluar juga perlu ditukar. Jangan memakai pakaian yang ketat seperti jeans. Namun anda masih boleh bergaya kerana dipasaran terdapat banyak seluar untuk ibu hamil yang seakan sama dengan pakaian casual yang anda pakai sebelum mengandung. Begitu juga dengan bra, dan seluar dalam anda perlu menukar kepada saiz yang lebih besar atau yang selesa.


Perkembangan Bayi Minggu 18

Kulit bayi ketika ini masih lagi berkedut kerana dia belum mengumpul lemak. Dia juga sangat aktif bergerak. Bayi juga mula peka terhadap bunyi-bunyian daripada luar. Oleh yang demikian, jangan terperanjat jika tiba-tiba bayi menendang setelah terdengar bunyi kuat.


Nota Hamil : Ketika ini anda sudah semakin dapat rasa pergerakkan anak. Dalam masa yang sama, anda juga mungkin mengalami masalah untuk bernafas. Hal ini terjadi kerana membran dalam hidung akan membengkak seterusnya mengganggu peredaran udara masuk ke dalamnya. Selain itu, lelehan faraj juga semakin bertambah. Sama seperti apa yang saya katakan tadi digalakkan menggunakan panty liner dan kerap menukar seluar dalam yang bersih.


Perkembangan Bayi Minggu 19

Sama seperti anda, bayi dalam kandungan juga semakin membesar. Ketika ini gigi susu mulai terbentuk dalam gusi.
Dalam masa yang sama, tunas untuk pembentukkan gigi kekal juga muncul.


Nota Hamil : Saat ini berat badan anda semakin bertambah. Punggung, paha dan bahagian abdomen adalah antara kawasan yang paling ketara pertambahan beratnya. Urat-urat halus juga mula kelihatan pada muka anda.



Perkembangan Bayi Minggu 20

Vernis iaitu sejenis bahan putih berminyak mula menyelaputi kulit bayi untuk melindunginya daripada cecair amniotik semasa berada dalam kandungan.


Nota Hamil : Rahim semakin cepat membesar dan anda kini telah kelihatan sama seperti ibu hamil lain. Akibat pembesaran perut yang begitu cepat, pusat hampir tidak kelihatan. Tetapi, ada sesetengah ibu hamil pusatnya tidak menjadi rata sebaliknya tertonjol keluar. Ketika ini masalah pedih ulu hati bukanlah sesuatu yang asing. Ini terjadi akibat perubahan hormon yang akan menyebabkan injap pada pintu masuk perut mengendur. Kesannya, asid perut kembali semula ke saluran perut yang dikenali sebagai esofagus. Agar masalah ini tidak berlarutan, elakkan makan terlalu banyak makanan yang terlalu pedas ataupun bergoreng.



Perkembangan Bayi Minggu 21

Si kecik kini sebesar kira-kira sebiji pisang besar. Sudah besar bukan? Jadi apa salahnya jika anda mula mencari nama terbaik untuknya.


Nota Hamil : Pada minggu ini badan anda berupaya menerima makanan lebih daripada biasa. Jadi, jangan terlalu banyak makan kerana lemak akan berkumpul dan tahap gula mungkin meningkat. Elakkan juga makanan yang tinggi kandungan karbohidrat seperti nasi kerana ini akan menyumbang kepada peningkatan gula dalam darah.


Perkembangan Bayi Minggu 22


Perkembangan pendengaran bayi di tahap yang memberangsangkan kerana anak kini sudah mula mendengar bunyi dari luar.


Nota Hamil : Minumlah segelas jus oren setiap kali anda mengambil makanan yang tinggi zat besinya seperti brokoli dan buah yang diawet. Jus oren membolehkan mineral dari makanan tersebut diserap dengan banyak dan mudah.


Perkembangan Bayi Minggu 23

Degupan jantung kini boleh dikesan menggunakan seteskop. Dia juga mula pandai tersedu.


Nota Hamil : Jika tangan dan kaki bengkak, jangan panik. Perkara ini biasa berlaku pada ibu hamil khususnya di akhir-akhir minggu kehamilan. Proses ini dinamakan sebagai oedema. Untuk melegakan kaki yang bengkak cuba rendam dengan air panas 5 – 15 minit setiap hari sebelum tidur.


Perkembangan Bayi Minggu 24

Bayi semakin lasak bergerak. Anda juga semakin mahir membaca pergerakkannya. Degupan jantung bayi sudah boleh didengar walaupun hanya menggunakan setoskop biasa. Pendengarannya semakin tajam. Bayi mendengar setiap bunyi yang ada seperti suasana di luar, degupan jantung dan bunyi angin dalam perut ibu. Oleh yang demikian, gunakan masa ini untuk mendengarkan anak dengan muzik, lagu atau bacaan Al-Quran.


Nota Hamil : Empat peratus daripada ibu hamil cenderung mengalami masalah kecing manis atau diabetis pada minggu ini. Jadi kawal pemakan harian anda.


Perkembangan Bayi Minggu 25

Sel-sel otak pada bayi terus berkembang dan menjadi semakin kompleks. Tulangnya juga semakin keras. Kini, bayi semakin sktif belajar bernafas, menyedut dan keluarkan kembali cecair amniotik yang wujud di sekitarnya mereka. Sekiranya bayi tertelan terlalu banyak cecair tersebut, dia boleh tersedu.


Nota Hamil : Memasuki minggu ini, pelbagai perasaan akan timbul. Takut, gembira, gementar, suka, risau dan segala jenis macam rasa akan timbul. Jangan terlalu banyak berfikir. Cuba tenangkan diri dengan membanyakkan bacaan tentang kehamilan serta ayat-ayat Al-Quran.


Perkembangan Bayi Minggu 26

Bayi mula belajar bernafas. Tetapi, pada tahap ini masih belum ada oksigen yang akan masuk ke dalam paru-paru. Tahap ini juga kedudukan bayi dalam keadaan menyongsang. Jangan panik. Dari masa ke semasa bayi akan berada di kedudukkan yang betul setelah berpusing mengikut usia kandungan.


Nota Hamil : Akan berlaku perubahan khususnya soal pernafasan. Anda mungkin akan cepat mengah dan rasa seperti kekurangan oksigen. Hal ini di sebabkan oleh saiz bayi yang kian membesar dan mula menekan jantung dan paru-paru. Seperti nasihat saya sebelum ini anda perlu menukar saiz bra, seluar dalam dan elakkan memakai pakaian yang ketat.


Perkembangan Bayi Minggu 27

Bayi makin membesar manakala kulit pula mula menebal dan berkedut dan diselaputi dengan satu lapisan yang dinamakan vernix caseosa


Nota Hamil : Anda mungkin menghadapi beberapa penyakit biasa ketika mengandung iaitu kecing manis dan darah tinggi. Oleh yang demikian, anda perlu tahu keadaan fizikal terkini dan pastikan kesihatan berada di tahap normal.


Perkembangan Bayi Minggu 28

Pada usia ini, bayi sudah cukup sifatnya dan boleh lahir pada bila- bila masa. Jika bayi lahir pada usia ini, dia diketegorikan sebagai bayi pramatang. Jantungnya kini berdegup sebanyak 150 degupan seminit.


Nota : Payu dara kini mula mengeluarkan kolostrum iaitu sejenis cecair likat. Jika anda berasa tidak selesa dengan pengeluaran kolostrum tersebut, cuba pakai pad pada baju dalam bagi mengelakkan rasa melekit.


Perkembangan Bayi Minggu 29

Bayi semakin membesar dan memenuhi ke seluruhan ruang dalam perut. Kepalanya mula sepadan dengan badan. Kening dan bulu mata tumbuh sepenuhnya. Bulu pada badannya terus tumbuh. Matanya boleh membuka dan ditutup dan mula fokus.


Nota Hamil : Dengan perut yang semakin besar, tidur anda kini sering tidak nyenyak. Selain daripada rasa tidak selesa semasa berbaring, anda juga semakin kerap ke bilik air. Ketika ini cara tidur yang betul penting untuk memastikan anda berpeluang untuk berehat secukupnya. Agar anda rasa selesa ketika berbaring, alaskan perut dan kaki dengan bantal. Ingin tahu bagaimana memilih bantal khusus untuk ibu hamil serta cara posisi yang baik sila dapatkan Buku Dairi Hamil yang terdapat diruang Kedai Buku Online dalam page ini.



Perkembangan Bayi Minggu 30

Bayi kini sudah pandai menyesuaikan keadaan mengikut keselesaan.


Nota Hamil : Anda akan cepat rasa letih kerana perut semakin membesar. Jika berjalan terlalu laju anda akan cepat lelah. Jadi adalah penting untuk anda menjaga posisi. Tidur pada waktu malam juga mungkin akan terganggu.


Perkembangan Bayi Minggu 31

Kini, dia sangat aktif dan sudah dapat membezakan antara terang dan gelap.


Nota Hamil : Sesak nafas atau termengah-mengah akan mudah berlaku sekiranya anda tidak berhenti bergerak. Jadi banyakkan berehat. Jika waktu malam anda rasa kurang selesa untuk bernafas, pastikan pakaian anda tidak terlalu ketat dan panas.


Perkembangan Bayi Minggu 32

Bayi semakin aktif bergerak. Dia akan memusingkan badan, menendang dan membuat lebih banyak lagi aksi berbanding sebelum ini. Walaubagaimanapun, kedudukan kepala bayi tetap berada si permukaan serviks untuk keluar pada bila-bila masa.


Nota Hamil : Jika anda bekerja, mulakan cuti sekarang. Nikmati hujung minggu kehamilan ini dengan pelbagai persediaan mental dan fizikal.


Perkembangan Bayi Minggu 33

Jari jemari mulai terbentuk dengan sempurna. Begitu juga halnya dengan paru-paru. Ketika ini, bayi mula berlatih bernafas.


Nota Hamil : Kenaikan berat badan kini tidak terlalu cepat. Jika tidak pun, berat badan hanya meningkat lebih kurang 1kg untuk setiap minggu. Anda digalakkan memeriksa tahap kesihatan dengan kerap agar tidak berlaku sebarang masalah.


Perkembangan Bayi Minggu 34

Berat badannya semakin bertambah. Matanya mula sensitif terhadap cahaya. Kening dan bulu mata kini sudah cukup matang dan mata janin kini sudah pandai berkedip-kedip. Sekiranya janin adalah lelaki, testisnya mula membentuk dengan sempurna.


Nota Hamil : Tekanan darah mungkin akan meningkat agak tinggi. Jadi, jaga sedikit perasaan dan emosi pada peringkat ini.


Perkembangan Bayi Minggu 35

Tulang kepalanya lembut dan mudah lentur. Manakala kulitnya mula berubah menjadi kemerah-merahan. Kini, dia tahu waktu tidur dan berjaga.


Nota Hamil : Banyakkan berbincang tentang emosi dan kesediaan anda ketika di bilik bersalin bersama pasangan atau sesiapa yang akrab agar rasa gentar dan risau semakin hilang. Dalam masa yang sama, kawal diet. Jangan berjalan keluar rumah kerana takut kontraksi boleh bermula pada bila-bila. Bersiap sedia dari sekarang.


Perkembangan Bayi Minggu 36

Kontraksi awal boleh bermula sekarang. Jika berlaku tidak terlalu kerap, itu bukan tanda ingin bersalin. Itu adalah tanda kandungan anda semakin mencapai tahap matang. Bayi mula pandai bernafas dengan betul, menghisap jari dan belajar menelan.


Nota Hamil : Pernafasan kini menjadi semakin tidak selesa. Pangkal rahim juga rasa sakit akibat tekanan yang dibuat oleh bayi dalam kandungan. Pemeriksaan kehamilan pula akan dijalankan setiap minggu mulai sekarang.


Perkembangan Bayi Minggu 37

Bulu pada badan bayi mula berkurangan. Bayi mula mengeluarkan hormon yang dinamakan cortisone yang membantu mematangkan orang pernafasan.


Nota Hamil : Bersedia, mungkin anda bersalin pada minggu ini. Periksa semua persiapan sebelum dan selepas bersalin. Jangan takut untuk bertanya apa jua soalan berkaitan dengan proses kelahiran kepada orang yang berpengalaman. Sikap ini membantu anda menambah lagi ilmu untuk digunakan ketika di bilik bersalin.


Perkembangan Bayi Minggu 38

Rambut mulai memanjang sehingga mencecah ukuran 5cm. Begitu juga dengan kukunya.


Nota Hamil : Sentiasa peka dengan perubahan diri. Pastikan tanda-tanda ingin bersalin. Jika ada tanda cepat-cepat pergi ke hospital. Jangan terlalu banyak membuat kerja-kerja rumah takut nanti tenaga anda hilang. Kumpulkan tenaga untuk beberapa hari ini supaya tenaga yang disimpan itu dapat digunakan sepenuhnya ketika di bilik bersalin.


Perkembangan Bayi Minggu 39

Pada peringkat ini, anak dalam kandungan kurang aktif dan banyak memperoleh antibodi daripada ibu.


Nota Hamil : Masa kini sudah tiba. Rasa sakit kontraksi kini semakin kerap. Walaupun begitu, jangan biarkan rasa sakit itu menghantui anda. Tenangkan fikiran dan bersiap sedia untuk ke hospital. Banyakkan berselawat nabi serta berzikir untuk membantu keresahan.


Perkembangan Bayi Minggu 40


Pada hujung minggu kehamilan pembesaran anak mula berkembang dengan lebih cepat. Lima tulang yang membentuk tengkoraknya belum bergabung antara satu sama lain.


Nota Hamil : Anda mula terasa tanda-tanda sebelum bersalin: sakit belakang, sakit seolah-olah senggugut, pergerakan perlahan usus, kontraksi dan pecah ketuban. Dalam pada itu akan ada perasaan takut untuk bersalin dan ragu-ragu dengan kemampuan diri untuk meneran. Pastikan suami anda menemani anda pada saat ini.

Kencing Kotor Ketika Hamil

Apa itu kencing kotor?

Kencing kotor atau istilah Urinary Tract Infection (UTI) adalah istilah umum untuk menunjukkan bahawa air kencing tidak normal. Tidak normal disini bermaksud kemungkinan air kencing itu terdapat kesan-kesan jangkitan di 'urinary tract' yang biasa terjadi kepada perempuan terutama bila perempuan tersebut mengandung. Air kencing kotor boleh juga menunjukkan bahawa kandungan air kencing terdapat bahan-bahan mineral lain yang tidak sepatutnya ada pada air kencing yang biasa. Antaranya adalah komposisi albumin,keton,urobilinogen yang menunjukan tanda-tanda awal fungsi ginjal dan hati tak berfungsi dengan baik.

Kencing kotor ini boleh terjadi dari kandungan berusia 6 minggu - 24 minggu. Kencing kotor terjadi pada wanita mengandung kerana berlakunya tekanan pada struktur pundi kencing akibat dari rahim yang membesar yang mengakibatkan kencing tidak dapat keluar dengan sempurna sehingga boleh menyebabkan ia bertakung dan kuman pula senang membiak.

Kencing kotor juga boleh menjadi petunjuk kepada masalah yg serius seperti praeklampsia.

Gejala dan Tanda

- Sakit ketika buang air kecil
- Kerap buang air kecil
- Tidak dapat menahan kencing dengan baik
- Terdapat darah atau mukus dalam air kencing (urin)
- Rasa kejang dan sakit di bahagian bawah abdomen
- Sakit ketika 'bersama' suami
- Sejuk, menggigil, berpeluh, air kencing bocor
- Terjaga dari tidur untuk terkencing
- Air kencing semakin bertambah atau berkurang
- Air kencing warna gelap, berbau busuk daripada biasa
- Sakit di bahagian pundi kencing
- Jika bakteria telah merebak sehingga ke buah pinggang, anda akan merasa sakit belakang, menggigil, demam, sejuk, muntah dan loya


Langkah Pencegahan

- Minum 6 hingga 8 gelas air kosong sehari
- Jus cranberry tanpa gula mungkin juga membantu
- kurangkan makanan berproses, jus buah, kafein, dan gula
- Terus buang air jika terasa ingin membuang air dan kosongkan sepenuhnya pundi kencing anda (anda boleh berdehem)
- Kencing sebelum dan selepas hubungan seks (intercourse)
- Jika sedang jalani rawatan UTI, hentikan sementara hubungan seks
- Blot dry sisa-sisa air di kemaluan, jangan lap (terutamanya lap dari belakang ke depan).
- Elakkan sabun yang kuat, douches, pencuci wanita dan juga bedak
- Tukar kerap saluar dalam
- Pakai seluar dalam yg selesa dan tidak ketat daripada kain kapas
- Jangan berendam dalam bath tub lebih daripada 30 minit / lebih 2 kali sehari


source: forum ratuhati.com & simanja.com


huhuh...ummi baru jer kene time peknen ni...muler2 awal peknen dulu memang ummi berhati2 takot kene kencing kotor ni..last2 kene jugak..uhuhuh...rasa sakit tu memang sakit sangat la kat ari2 tu..sampai nak jalan pon susah tau...

tapi tak la terok sangat..ummi cumer g kenek swasta jer..(sebenarnyer takot nak g kenek gomen..kang tak pasal2 diorang jadikan kiter bahan ujikaji..huhuh) kat kenek tu doktor cumer suruh banyakkan minom air masak jer...
pastu doktor bekalkan ubat antibaotik nak lawas kencing...




ni la ruper ubat yang doktor kasi...antibaotik tu kene habiskan...huhuhuh



mintak2 la da ok pasni...kot2 kalu ader kawan2 yang tau lagi pasal ni..bleh la share yer camner care nak atasinyer...uhuu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...